Thursday, April 22, 2010

From http://merdekareview.com/bm/news.php?n=10733

PAS Selangor optimis Zaid menang Ahad ini



PAS Selangor optimis setakat ini calon Pakatan Rakyat mendahului calon BN dari sudut sokongan rakyat khasnya para pengundi di Hulu Selangor. Kerja-kerja kempen yang dilakukan secara bersepadu antara para petugas PAS, PKR dan DAP terus-menerus mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk tempatan.

Dari tinjauan didapati bahawa rekod buruk perkhidmatan wakil MIC dari Barisan Nasional sebelum pilihanraya umum 2008 lalu telah menyedarkan rakyat untuk tidak lagi memberi peluang pada BN. Ini ditambah dengan pencapaian memberangsangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah kepimpinan Khalid Ibrahim.

Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ternyata menyentuh hati rakyat jelata. Dan ini memberi kesan langsung kepada harapan Zaid Ibrahim hari Ahad ini lantaran rakyat selesa dengan kesungguhan dan keikhlasan pimpinan dan kerajaan PR Selangor sejak berkuasa Mac 2008 lalu sehinggalah hari ini.

PAS Selangor menjangkakan jumlah para petugas PAS khasnya dari seluruh negara akan terus meningkat menjelang fasa terakhir tempuh berkempen dan pada hari mengundi bagi menyokong dan membantu jentera PKR.

PAS Selangor mengambil kesempatan menyeru seluruh pengundi berdaftar di Hulu Selangor agar keluar beramai-ramai pada hari mengundi Ahad ini dan memberikan undi kepada calon PKR yang mewakili Pakatan Rakyat bagi memberikan isyarat kesungguhan rakyat mahu melihat PR terus memerintah negeri Selangor ini. Begitu juga pada para pengundi pos yang berjumlah 799 orang itu, PAS Selangor mengharapkan agar mereka nanti akan berani menyalurkan suara melalui undi masing-masing demi membina sebuah Negeri Selangor yang maju, bersih dan berkebajikan buat semua.

*Kenyataan media oleh Roslan Shahir bin Mohd Shahir selaku Ketua Penerangan PAS Selangor Badan Perhubungan PAS negeri Selangor.

No comments: