Saturday, April 24, 2010

Nik Aziz Undi Zaid Orang Kelantan Tahu Halal Haram


From http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/61152
Oleh G. Manimaran

BATANG KALI — Tinggal kurang enam jam sebelum kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor berakhir, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pengundi kawasan ini termasuk 300 warga Kelantan mengundi calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, esok.

Kata Nik Aziz, pengundi-pengundi wajar memberikan sokongan Zaid kerana yakin terhadap kepimpinannya sebagai seorang yang berprinsip.

“Beliau seorang yang sanggup meletakkan jawatan kerana prinsip... mana ada menteri yang sanggup meletakkan jawatan,” kata Menteri Besar Kelantan ini ketika berucap di hadapan penyokong PAS di Batang Kali, petang ini.

Majlis ini diadakan untuk pengundi-pengundi dari Kelantan.

Bagaimanapun hampir 3,000 orang termasuk pengundi tempatan hadir untuk mendengar ucapan Nik Aziz — persinggahan kedua terakhir hari ini. Malam ini beliau akan berucap di stadium mini Kuala Kubu Baru bersama Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Nik Aziz memberitahu, beliau juga yakin dengan kepimpinan Zaid kerana bekas Ahli Parlimen Kota Baru itu adalah kelahiran Kelantan yang tahu “soal halal haram.”

“Dulu dia minum arak masa dalam Umno, bila rapat dengan PAS sudah tak minum arak,” kata beliau.

Zaid menyertai PKR awal tahun lalu selepas dipecat Umno akhir 2008.

Zaid yang diturunkan Pakatan Rakyat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor berhadapan dengan serangan peribadi beliau seorang kaki sosial termasuk minum arak.

Umno-BN menggunakan isu itu sebagai bahan kempen.

Awal minggu ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Zaid sudah berubah selepas kembali dari Mekah.

Dalam ucapannya beliau juga menyentuh soal mengapa PAS harus menjalin kerjasama bersama DAP dan PKR dalam membentuk Pakatan Rakyat.

Sebab itu kata Nik Aziz, beliau banyak kali menolak kerajaan perpaduan antara PAS-Umno termasuk ketika Muktamar PAS 2008 dan 2009.

“Dulu (1960-an) dia letih (BN dalam suasana sukar) panggil kita, tetapi selepas itu ketepikan kita.

“Sekarang dia letih balik, hilang beberapa negeri, dia (BN) panggil kita balik, mana boleh? Tidak!” katanya

No comments: