Saturday, April 24, 2010

Pungutan Suara Zaid Dahului Calon Bn & 12 Peratus Tak Pasti

From http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/61161-Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Lee Suet Ling

HULU SELANGOR: — Selepas kempen lapan hari, Datuk Zaid Ibrahim dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk mengekalkan kerusi Hulu Selangor yang dimenangi Pakatan Rakyat dua tahun lalu.

Pungutan suara kendalian The Malaysian Insider di Hulu Selangor menunjukkan Zaid berada di depan dengan 49 peratus sokongan berbanding lawannya P. Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN).

Populariti Kamalanathan di kalangan pengundi adalah dalam lingkungan 40 peratus.

Kira-kira 11 peratus pengundi kelihatan masih belum membuat keputusan dengan menjawab soalan “tidak pasti.”

Kadar populariti itu diperoleh apabila responden ditanya siapakah calon pilihan mereka apabila keluar mengundi pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor esok.

Hasil tinjauan The Malaysian Insider juga mendapati di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Zaid memperoleh 70 peratus undi sementara Kamalanathan pula 30 peratus.

Di DUN Kuala Kubu Baru, Zaid memperoleh 45 peratus sementara Kamalanathan pula 30 peratus sementara 25 peratus lagi masih belum membuat keputusan.

Sementara di Hulu Bernam pula, pengundi memilih Kamalanathan dengan 55 peratus undi manakala Zaid 35 undi dan selebihnya masih belum membuat keputusan.

The Malaysian Insider mendapati pengundi Cina (14 peratus) dan India (12 peratus) cenderung untuk memilih Zaid berbanding pengundi Melayu (23 peratus).

Sementara itu, Kamalanathan lebih digemari pengundi Melayu apabila 27 peratus memilih beliau untuk memenangi pilihan raya ini sementara pengundi Cina sebanyak lima peratus dan pengundi India sebanyak lapan peratus.

Kawasan Parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500 pengundi dengan terdiri daripada DUN Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali.

Tinjauan dilakukan hari ini ketika pemimpin-pemimpin kanan BN dan Pakatan Rakyat termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkerja keras menemui pengundi awal pagi ini sehingga tengah malam ini.

Daripada sejumlah pengundi yang ditemui di kesemua kerusi DUN dalam Parlimen Hulu Selangor membabitkan komposisi kaum, seramai 85 peratus pernah mengundi pada pilihan raya umum 2008.

Seratus peratus responden berkata mereka akan keluar mengundi esok.

Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan peratusan keluar mengundi 80 peratus.

Ini pilihan raya kecil pertama di Selangor sejak MaC 2008.

The Malaysian Insider menjalankan kajian rawak ini ketika muncul pelbagai pandangan bahawa BN dan Pakatan Rakyat masing-masing akan menang.

Ada yang meletakkan 52 peratus untuk BN dan ada juga meletakkan 53 peratus untuk calon Pakatan Rakyat.

Ketika ditanya secara individu mengapa mereka sesebuah parti dan calon, pengundi di DUN Batang Kali Rosli Nawawi, 58, berkata: “Saya sebenarnya tidak kisah untuk pilih siapa yang penting calon itu adalah orang Melayu.”

“Jadi sekarang saya akan memberikan sokongan kepada PKR kerana selain faktor calon itu Melayu saya lihat beliau mempunyai potensi untuk menjadi wakil rakyat yang berwibawa,” katanya.

Seorang lagi calon, Shamsuddin Salleh, 70 pula memberitahu, “saya lihat Kamalanathan mempunyai aura yang begitu tinggi sekali kerana beliau seorang anak muda yang bersemangat.”

“Beliau juga seorang yang berpendidikan tinggi serta berkebolehan bercakap dengan baik dalam bahasa Melayu.

“Tidak salah sekiranya beliau diberikan satu peluang untuk membuktikan bahawa beliau mampu membawa perubahan kepada Hulu Selangor,” katanya.

Selvan Nagapan, 35, juga dari Batang Kali berkata, “sudah tentu saya akan memberikan sokongan kepada PKR kerana parti itu telah banyak membantu pengundi-pengundi di sini.”

“Walaupun baru dua tahun memerintah tetapi mereka telah membuktikan bahawa mereka juga mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Pengundi Parabha Hoiti, 60, juga dari Batang Kali pula memberitahu, sebelum ini dia memang sokong BN tapi kini saya akan menyokong PKR pula kerana mereka lebih peka dengan masalah rakyat berbanding BN.”

Dalam pada itu, pengundi di DUN Kuala Kubu Baru, Lechuman Mariapan, 50, yang akan mengundi kali ketiga berkata, “bagi saya sebagai rakyat sudah menjadi kewajiban untuk mengundi bagi memilih calon yang akan mewakili rakyat.

“Oleh itu, saya memberikan sokongan PKR kerana sepanjang dua tahun memerintah Selangor banyak perubahan telah dilakukan.

“Jadi apa salahnya sekiranya memberikan satu lagi peluang kepada mereka,” katanya.

Ahchoon, 48, juga dari kawasan yang sama memberitahu, “dulu saya sokong BN tapi kini PKR kerana yakin dengan kepimpinan PKR yang dapat menyelesaikan masalah rakyat selain membawa perubahan besar.”

Ganesan Muhisamy, 54, berpendapat, “sepanjang dua tahun memerintah Selangor, PKR telah banyak membantu masalah rakyat selain banyak perubahan dilakukan.”

“Saya melihat calon PKR adalah seorang individu yang boleh buat kerja selain peka dengan masalah rakyat,” katanya.

Pun begitu, Wong Swee Choy, 48, mempunyai pandangan yang berlainan.

“Saya berfikiran ringkas, saya pilih pemimpin yang dapat member bantuan kepada kita.

“Dulu saya ahli PKR, tetapi disebabkan saya tidak diberi layanan yang baik ke atas usaha yang saya sumbangkan, saya keluarlah parti.

“Sekarang, saya sokong BN sebab saya terima bantuan mereka dan mereka memberi elaun bulanan kepada saya,” katanya.

Salah seorang pengundi di Hulu Bernam, Abdullah Mahmud, 73, berkata, “saya sudah lama sokong BN dan sudah pasti akan mengundi untuk mereka esok.”

“Lagipun calon yang dipilih memang bagus dan juga berpendidikan tinggi,” katanya.

Rosnani Sarip, 38, memberitahu, “sejak dulu saya memang sokong BN kerana mereka telah lakukan banyak perubahan kepada rakyat dan negara.

“PKR masih baru dan saya lihat mereka tidak berkemampuan untuk memimpin negara berbanding BN,” katanya.

Seorang pengundi muda, Nurul Salwa Ibrahim, 28, akan memberi peluang kepada PKR untuk membuktikan bahawa mereka mampu membawa satu perubahan yang besar kepada rakyat.

“Selain itu, sejak memerintah dua tahun lalu PKR telah melakukan banyak perkara untuk rakyat,” katanya.

No comments: